Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Hampir kesemua penggubal undang-undang Turki mengundi untuk meluluskan pelan mengekalkan kehadiran tentera Republik itu di Syria dan Iraq selama setahun lagi.
Parlimen Turki yang bersidang pada Sabtu lepas telah meluluskan rang undang-undang yang mengizinkan negara itu untuk mengekalkan kehadiran tenteranya di Syria dan Iraq sehingga 30 September tahun 2017. Rang undang-undang itu dibuat berdasarkan kepada mandat terdahulu yang dibuat pada Oktober 2014 dan kemudiannya diperbaharui pada September 2015.
Parti pro-Kurdis yang dikenali sebagai HDP mengundi untuk menolak undang-undang itu sementara parti pemerintah iaitu AKP dan beberapa parti yang lain telah menyokong perkara tersebut.
Ankara mendakwa bahwa operasi-operasi berkaitan adalah perlu untuk membendung aktiviti kumpulan pengganas Takfiri dan militan Parti Pekerja Kurdis (PKK) sekaligus memperkuatkan militan pro-Turki yang berhadapan dengan dua kumpulan tersebut.
"Pelanjutan mandat ini akan membantu kerajaan di dalam proses menamatkan ancaman keganasan buat selamanya dan akan menjadi faktor pencegahan (aktiviti) kumpulan ISIS dan PKK," kata menteri pertahanan republik itu, Fikri Isik kepada agensi berita Andolu sebelum undian dibuat di parlimen.
Menteri itu juga menambah bahawa mandat itu akan membolehkan Ankara untuk menggunakan pelbagai metod dan kaedah di dalam menghadapi kumpulan pengganas di dalam rangka undang-undang antarabangsa.
Dengan menggunakan mandat yang sedia ada, Ankara telah menempatkan seramai 150 orang anggota tentera dan peralatan berat sambil disokong oleh 20 hingga 25 buah kereta kebal di Bashiqa yang terletak di pinggir bandar Mosul. Mosul adalah bandar kedua terbesar di Iraq yang terletak di wilayah Nineveh. Bandar itu telah dikuasai oleh pengganas Takfiri sejak Jun 2014.
Ankara mendakwa bahawa langkah itu dibuat untuk melatih tentera Peshmerga di dalam rangka memerangi ISIS. Baghdad menolak dakwaan itu sambil menekankan bahawa ia tidak memerlukan bantuan Turki.
Iraq mengecam tindakan unilateral Turki itu sambil memanggilnya sebagai sebuah pencerobohan ke atas kedaulatannya. Iraq telah membawa kes mereka kepada Majlis Keselamatan PBB di dalam usaha menghalau keluar tentera Turki daripda wilayah yang dicerobohi mereka.
Di bawah mandat yang sama, tentera Turki juga telah menceroboh dan menduduki bandar Jarablus di Syria setelah ISIS meninggalkan kawasan itu. Di dalam peristiwa itu Turki telah menggunakan kereta kebal dan pesawat pejuang di wilayah Syria tanpa izin Damaskus. Syria secara keras mengecam tindakan yang jelas mencabul undang-undang antarabangsa itu dan menganggapnya sebagai pencerobohan terhadap kedaulatannya.
Turki terus-menerus mendakwa mereka menyasarkan kumpulan pengganas sedangkan bukti daripada pihak Syria menunjukkan bahawa sebenarnya membantu para militan tajaan mereka untuk menjatuhkan pemerintahan Assad.
Turki lanjutkan kehadiran tentera mereka di wilayah Iraq dan Syria.
Tentera Turki Kekal di Iraq Dan Syria Selama Setahun Lagi Di Sebalik Kecaman Kedua-dua Negara Tersebut.
2 Oktober 2016 - 13:48
News ID: 782812
Hampir kesemua penggubal undang-undang Turki mengundi untuk meluluskan pelan mengekalkan kehadiran tentera Republik itu di Syria dan Iraq selama setahun lagi.